Bantahan Doktrin “Basic Structure”

Bantahan Doktrin “Basic Structure”

Started
6 September 2022
Signatures: 12,339Next Goal: 15,000
Support now

Why this petition matters

Bantahan rakyat ke atas penggunaan “Basic Structure Doctrine” (BSD) oleh Mahkamah Persekutuan.


1. Kami rakyat Malaysia ingin menzahirkan kebimbangan, ketidaksetujuan dan bantahan kami terhadap pemakaian “Basic Structure Doctrine” oleh Mahkamah tertinggi di Malaysia kebelakangan ini.


2. “Basic Structure Doctrine” yang dicedok dari Negara India ini sudah ditolak penggunaannya oleh Mahkamah tertinggi di Malaysia selama lebih 60 tahun dan oleh hakim-hakim agung kita seperti Almarhum Sultan Azlan Shah, Tun Mohd Sufian dan Tun Abdul Hamid. Ini kerana pada pandangan mereka, kita tidak perlu mencedok acuan dari negara luar untuk memahami Perlembagaan Persekutuan kita, dan mereka juga mendaulatkan kuasa rakyat melalui parlimen untuk menggubal undang-undang atau meminda Perlembagaan Persekutuan.


3. Tetapi malangnya pada sekitar 2018, Mahkamah Persekutuan telah menggunapakai “Basic Structure Doctrine” dan menolak dan membelakangkan keputusan-keputusan Mahkamah tertinggi terdahulu.


4. Doktrin ini merbahaya kepada fabrik asas negara dan bakal menimbulkan pertembungan besar di negara kita. “Basic Structure Doctrine” yang cuba diterima dan diperkenalkan oleh Mahkamah Persekutuan sekarang ini mempunyai ciri-ciri berikut:

(i) Pendirian bahawa Perlembagaan kita mempunyai  “basic structure” (struktur asas) yang ditentukan oleh Mahkamah yang tidak boleh dipinda oleh Parlimen.

(ii) Atas nama semak dan imbang, Mahkamah berkuasa menentukan sepenuhnya apakah skop stuktur asas (basic structure) tersebut.

(iii) Mana-mana undang-undang ataupun pindaan perlembagaan yang digubal oleh Parliamen, yang bertentangan dengan struktur asas (basic structure) yang ditentukan Mahkamah adalah tidak berpelembagaan, dan menjadi tidak sah. 

 

5 Apa implikasinya? 

5.1 Satu, walaupun persetujuan lebih 2/3 ahli Parlimen dan perkenan Majlis Raja2 telah diperolehi, mana-mana pindaan perlembagaan boleh menjadi tidak sah sekiranya ia difikirkan bertentangan dengan struktur asas (basic structure) oleh Mahkamah. Ini bertentangan dengan amalan pengasingan kuasa perlembagaan kita selama ini di mana hak menggubal undang-undang sepenuhnya terletak di dalam tangan rakyat melalui Parlimen dan untuk perkara-perkara tertentu melalui perkenan Majlis Raja-Raja.


5.2 Kedua, Perlembagaan Persekutuan kita tidak menyatakan secara tersurat apakah struktur asas (basic structure) Perlembagaan Persekutuan tersebut. Tidak seperti India di mana perlembagaannya dengan jelas dan nyata mempunyai peruntukkan (dalam bentuk Mukaddimah) yang telah diluluskan oleh Parlimen sebagai membentuk asas perlembagaan Negara India, Perlembagaan Persekutuan kita tidak mempunyai peruntukkan sedemikian (sama ada dalam bentuk Mukaddimah atau lain-lain).

Ini bermakna penentuan tentang apakah itu struktur asas (basic structure) Perlembagaan Persekutuan akan bergantung sepenuhnya kepada pendirian pendapat dan kecenderungan hakim-hakim. Kalau hakim adalah liberal maka unsur liberal boleh dimasukkan. Begitu juga jika konservatif. 

Oleh kerana ia tidak tersurat dan terlalu subjektif, sehingga kini tiada siapa tahu dengan jelas skop lengkap struktur asas (basic structure) Perlembagaan Persekutuan dan apakah ciri-ciri yang membentuk struktur asas (basic structure) tersebut. Undang-undang kita menjadi tidak jelas, tidak menentu dan akan bergantung semata-mata kepada pendirian, pendapat dan kecenderungan hakim. 


5.3 Setelah Mahkamah menentukan sesuatu struktur asas (basic structure) mengikut pendirian, pendapat dan kecenderungan mereka, dan mengisytiharkan sesuatu undang-undang atau pindaan perlembagaan yang dibuat oleh Parlimen sebagai tidak sah, tiada siapa lagi boleh mencabar keputusan Mahkamah tersebut. Mahkamah menjadi supreme. Semak dan imbang akan menjadi mustahil. 

Di bawah konsep pengasingan kuasa yang kita telah amalkan sejak merdeka, Parlimen yang merupakan suara rakyat berhak menggubal undang-undang dan meminda perlembagaan sekiranya perlu lantaran daripada perubahan masa dan keadaan, walaupun ia bertentangan dengan keputusan mahkamah.

Terdapat beberapa kali keputusan Mahkamah tidak sesuai dengan kehendak dan keperluan rakyat dan rakyat melalui Parlimen telah menggubal undang-undang baru atau meminda Perlembagaan bagi membetulkannya. Contohnya pindaan perlembagaan pada tahun 1988 dibuat kerana antara lain mahkamah sivil sering campurtangan (interfere) keputusan mahkamah shariah. Tetapi dengan “Basic Structure Doctrine” ini, kuasa Parlimen ini telah diambil (usurp) oleh Mahkamah. Sekiranya mahkamah tentukan mana2 perkara sebagai struktur asas perlembagaan, Parlimen tiada lagi hak untuk menggubal undang2 bagi membetulkannya. Ini sekali lagi jelas bertentangan dengan konsep pengasingan kuasa dan kuasa semak dan imbang (check and balance) yang dibayangkan oleh penggubal Perlembagaan dahulunya. Rakyat patut mempunyai hak menggubal undang-undang melalui Parlimen sekiranya mereka tidak puas hati dengan keputusan mahkamah.

 

5.4 Sebagai contoh, Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Ghandi telah menentukan bahawa Mahkamah Sivil adalah mengatasi Mahkamah Shariah dan ini merupakan struktur asas (basic structure) Perlembagaan kita, walaupun terdapat Perkara 121(1A). Implikasinya ialah apa-apa undang-undang untuk memperkasa bidangkuasa Mahkamah Shariah agar setaraf dengan Mahkamah Sivil boleh menjadi tidak berperlembagaan, dan tidak sah. 

Mahkamah Persekutuan di dalam kes ini seolah-olah tidak mahu memberi kesan sepenuhnya kepada niat pindaan Perlembagaan yang dibuat pada tahun 1988 untuk memperkasa bidangkuasa Mahkamah Shariah. Seperti dinyatakan Pindaan 1988 ini telah dibuat kerana Mahkamah Sivil sering campurtangan keputusan Mahkamah Shariah. Kenapa pula doktrin ini boleh menyekat hak rakyat dan kuasa Parlimen bagi membetulkan  campurtangan sebegini. 

 

5.5 Bagi umat Islam, dengan pemusatan kuasa penentuan keabasahan perundangan di tangan Mahkamah Sivil berikutan “Basic Structure Doctrine” ini, mahkamah sivil akan mengatasi sebarang institusi lain, termasuk institusi agama dan fatwa. Keabsahan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bidangkuasa eksklusif Mahkamah Syariah berkenaan perkara-perkara berkaitan agama Islam, kini boleh dicabar melalui Mahkamah Sivil. Bidangkuasa Kehakiman dan perundangan Syariah disekat dan tidak boleh melangkaui fahaman dan doktrin asing ‘struktur asas’ ini. Adalah tidak mustahil selepas ini banyak lagi keputusan Mahkamah Shariah akan dicabar di Mahkamah Sivil. Malah Artikel 121(1A) itu sendiri boleh tergugat dan boleh diisytiharkan sebagai tidak sah oleh Mahkamah dalam kes-kes akan datang jika hujah sebegini terus diterimapakai.


6. Dengan itu, “Basic Structure Doctrine” ini perlu ditolak rakyat. Rakyat sepatutnya ada hak menggubal undang-undang melalui Parlimen sehingga memperbetulkan keputusan-keputusan Mahkamah yang tidak sesuai dengan konteks dan keperluan semasa. Umat Islam seharusnya mempunyai hak untuk mengangkat, memperkukuh dan mengarus-perdanakan kedudukan perundangan serta kehakiman syariah di negara ini, tanpa kacau-ganggu dari anasir asing seperti doktrin ‘basic structure’ ini. Kuasa menggubal undang-undang seharusnya terletak sepenuhnya kepada Parlimen dan bagi setengah perkara Majlis Raja-Raja sepertimana yang sudah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kita. Mahkamah bukan “supreme” untuk menidakkan kuasa ini. Kita harus kembalikan pengasingan kuasa dan kuasa semak dan imbang sepertimana yang telah ditetapkan oleh Mahkamah tertinggi dan hakim-hakim Agung kita sebelum 2018. 

 

7. Keluhuran perlembagaan tidak membenarkan apa-apa doktrin undang-undang mengambil alih dan mengatasi terma-terma tertulis di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita kembalikan keluhuran perlembagaan iaitu Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama. 

 

8. Atas dasar ini, kami tidak bersetuju dan membantah penggunaan "Basic Structure Doctrine" ini oleh Mahkamah.


Yang benar,* 

1. Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

2. Lukman Sheriff Alias

3. Yusfarizal Yusoff

4. Aidil Khalid

5. Badruzzaman Ishak

* atas dasar kapasiti peribadi dan tidak mewakili mana2 pihak atau badan.


#TolakDoktrinBasicStructure

#BantahDoktrinBasicStructure

#TolakBSD

#BantahBSD

———————————————


Untuk memahami perkembangan kes2 mahkamah shariah di mahkamah sivil sila klik sini

———————————————


FAQ/ Soalan2 lazim BSD

  1. Apa yang kita mahu mahkamah lakukan?
  2. Bolehkah dan bagaimana penolakan ini dapat dilakukan oleh mahkamah?
  3. Apakah akan terjadi sekiranya Mahkamah masih mempertahankan doktrin ini selepas bantahan dibuat?
  4. Apakah dengan menolak “Basic Structure Doctrine” kita menolak perlembagaan mempunyai struktur asas seperti Islam,  Raja, Kebebasan Asasi dsbg?
  5. Bukankah doktrin “basic structure” ini mengikut preseden sedia ada seperti yang didakwa oleh ketua hakim negara?
  6. Apakah kaitan “Basic Structure Doctrin” ini dengan kes Datuk Seri Najib?
  7. Bilakah gerakan bantahan ini dimulakan? Kenapa sekarang?

Jawapan2 kepada soalan2 lazim di atas dan soalan2 lain, boleh didapati di sini 

Support now
Signatures: 12,339Next Goal: 15,000
Support now
Share this petition in person or use the QR code for your own material.Download QR Code